Pakatan Harapan (PH) menetapkan tiga syarat untuk mana-mana ahli atau pemimpin yang keluar dari UMNO dan mahu menyertai PH.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, situasi 'lompat parti' itu sebenarnya sudah dijangka PH selepas mereka berjaya menjadi kerajaan pada Mei lepas.

"(Syarat) Pertama, isytihar keluar parti. Kedua, ada tempoh 'idah'. Tak boleh semalam UMNO, hari ini terus masuk mana-mana parti.

"Yang ketiga, kalau berlaku mereka mohon masuk mana-mana parti, masing-masing parti dan PH akan tengok berdasarkan kes mereka yang memohon.

"Alasan kita waktu itu adalah, kita tidak mahu, ketika rakyat marah dengan UMNO, tiba-tiba wakil UMNO itu diterima, kemarahan rakyat itu akan pindah kepada PH," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Agenda AWANI pada Rabu.

BACA: 'Permohonan bekas UMNO masuk Bersatu diteliti, pastikan bukan penyokong kuat Najib'

BACA: 'Terima ahli UMNO masuk Bersatu, Kit Siang dulu pun terima saya' - Tun M

Jelasnya, parti-parti di dalam PH sendiri sudah diikat dengan asas kepercayaan dan saling menghormati sesama mereka.

"Kita sensitif (dalam) menerima atau menolak sesuatu permohonan. Contohnya apabila Tan Sri Rahim Tamby Chik menyerahkan borang permohonan, kita tengok reaksi yang langsung tidak jernih dalam PH.

"Jadi, saya percaya kalau ada parti yang buat keputusan untuk terima sebahagian daripada ahli Parlimen UMNO, mereka akan ambil kira sentimen, pandangan parti dan masing-masing dalam pakatan," katanya.

BACA: 'Saya benar-benar sedih tinggalkan UMNO, tetapi..' - Rahim Thamby Chik

BACA: Kita akan nilai dulu Rahim Thamby Chik, kalau sesuai kita terima - Dr Mahathir

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, kemasukan Ahli Parlimen pembangkang ke dalam kerajaan PH seperti yang berlaku ketika ini boleh menjadi nilai tambah kepada kekuatan kerajaan sedia ada.

Tegasnya, ini kerana ia boleh memberi kekuatan majoriti dua pertiga kepada kerajaan PH di dalam Parlimen.

BACA: Lompat parti: Demi peroleh dua pertiga majoriti Parlimen - Saifuddin

BACA: Ahmad Maslan jangan lompat ke PH, kata Nurul Izzah