Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di negeri Melaka disifatkan sebagai mengkhianati parti.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik, meskipun Muhammad Jailani tidak mengisytihar keluar parti, namun tindakannya itu seolah-oleh beliau sudah keluar dari parti berkenaan.

"Kalau dah dia menyokong sebelah sana (Perikatan Nasional), pada saya dia sudah isytihar keluar parti tetapi kita akan masukkan dia dalam Lembaga Displin, apa tindakan yang perlu kita ambil terhadap dia dalam masa terdekat.

"Dalam Keadilan, jika Adun atau Ahli Parlimen keluar parti, dia kena bayar RM10 juta itu perjanjian kita. Sekarang kita tidak pecat dia, tapi dia sokong sebelah sana maksudnya dia sudah keluar parti," katanya dalam sidang media, di sini pada Selasa.

Muhammad Jailani pada Isnin muncul dalam sidang media bersama pemimpin UMNO Melaka.

Dalam sidang berkenaan, beliau menyatakan sokongan kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional sekali gus menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan bubar di negeri itu.

Pada Isnin Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam sidang media mengumumkan, negeri berkenaan akan menerima kerajaan baharu yang ditubuhkan oleh Perikatan Nasional.

Menurut Ab Rauf, 17 ADUN menyokong Perikatan Nasional bagi membentuk kerajaan di Melaka sekali gus menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Adly Zahari.

BACA: Pakatan Harapan tumbang di Melaka, Perikatan Nasional tubuh kerajaan