Keputusan pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding menggunakan parti itu pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah dipersetujui secara konsensus dan tidak perlu diperbesarkan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seharusnya isu tersebut tidak timbul memandangkan fokus utama parti dan rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) ketika ini adalah untuk menang dan menewaskan Barisan Nasional (BN).

Katanya, bantahan yang dibuat pihak terlibat 'tidak relevan' dan tidak sepatutnya dilakukan, dan ahli akar umbi seharusnya menghormati keputusan yang dibuat pimpinan parti.

Katanya, ahli hanya perlu bersatu dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada wakil yang dipilih PH jika mahu gabungan itu menawan Putrajaya.

"Bagi saya, ia bukan satu isu, keputusan itu dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan. Kita percaya Tun M ada peranan penting dalam pilihan raya ini. Bersama komponen lain dalam PH, kita perlu bersatu dalam berhadapan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Bagi mereka yang menentang (keputusan parti), bagi saya ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pimpinan parti dan PH akan memberi penjelasan kepada akar umbi menerusi program jelajah yang dibuatnya dalam usaha memberi kefahaman kepada ahli di seluruh negara mengenai keputusan menggunakan satu logo.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan 50 ahli PKR peringkat akar umbi dari seluruh negara yang membantah keputusan pimpinan tertinggi parti membenarkan Dr Mahathir bertanding menggunakan logo PKR pada PRU14 nanti.

Terdahulu, Mohamed Azmin merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Pinang Tunggal dan kenduri rakyat di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pada Sabtu, 50 ahli PKR terbabit menyerahkan memorandum bantahan kepada kakitangan di ibu pejabat PKR dan menyeru agar pimpinan tertinggi mengkaji semula keputusan penggunaan logo oleh Dr Mahathir, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam tempoh enam hari.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Gantang, Muhamad Faisal Zainal, mendakwa 60 peratus daripada 200,000 anggota PKR kecewa dengan keputusan itu dan membantah sekeras-kerasnya logo PKR digunakan bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir bakal bertanding di kerusi Parlimen Langkawi di bawah tiket PKR susulan PPBM dibubar sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 5 April lepas kerana gagal mengemukakan butiran parti yang diperlukan.

Selaras dengan itu, PPBM juga tidak boleh menggunakan nama dan logo parti dalam tempoh perintah pembubaran sementara itu, selain tidak dibenarkan mengadakan sebarang aktiviti parti.