Tindakan 821 ahli termasuk bekas setiasaha kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengisytihar keluar parti baru-baru ini disifatkan sebagai aneh.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sebelum ini, Kamarul Azman Habibur Rahman antara individu terawal yang berjanji akan berjuang bersama dengan PPBM, namun keputusannya meninggalkan parti jelas tidak selari dengan matlamat awal perjuangannya itu.

Dr Mahathir berkata sebagai ahli PPBM, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian namun kesal kerana individu yang kononnya mahu berjuang menentang perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebaliknya kini menuduh parti itu pula merosakkan ekonomi negara.

“Dia nak keluar, keluarlah, tiada paksaan. Yang anehnya, orang inilah yang pertama marah pada (Datuk Seri) Najib dan tubuhkan parti,” kata Dr Mahathir.


Rabu lepas, Kamarul Azman Habibur Rahman yang juga antara pengasas PPBM mengisytihar keluar parti dan melepaskan semua jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan berkenaan dibuat selepas beliau kecewa dengan hala tuju parti selepas mendapati ia sudah menyimpang daripada perjuangan asal selain wujud perebutan jawatan di dalam parti.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang menubuhkan parti politik baharu, Dr Mahathir berkata tindakan berkenaan berkemungkinan adalah untuk menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Menurutnya, Pakatan Harapan berpegang pada polisi satu lawan satu menentang BN dan sekiranya wujud lebih banyak parti yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, parti itu jelas menyokong Najib dan BN.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bual Bicara bersama Tun M anjuran PPBM Pulau Pinang di Tasek Gelugor pada Ahad malam.

Hadir sama, Pengerusi PPBM Negeri Marzuki Yahya; Timbalan Pengerusi Datuk Seri Mohd Shariff Omar; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa.