Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru agar setiap calon dan parti politik yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson untuk tidak melaksanakan aktiviti yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.

Menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, aktiviti seperti jamuan, pemberian hadiah bagi tujuan memancing undian, penggunaan aset kerajaan, serta kempen yang menyentuh sensitiviti agama boleh disabitkan sebagai kesalahan selaras Akta Pilihan Raya 1954.

“Bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman dan harmoni, semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik, calon-calon yang bertanding, penyokong-penyokong parti politik, diminta supaya mematuhi undang-undang, peraturan dan arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, PDRM atau pihak berkuasa lain.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua calon dan parti politik yang bertanding untuk memastikan segala aktiviti kempen PRK Parlimen P.132 Port Dickson tidak menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengundi di PRK tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

Tegasnya, sekiranya mana-mana pihak mendapati ada pihak yang melakukan kesalahan tersebut, SPR menyarankan supaya laporan dikemukakan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada Hari Mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang. Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR turut berharap agar semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam demi menjamin satu pilihanraya yang bersih, beretika dan adil,” ujarnya.