Tindakan Mohd Khairuddin Othman, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, keluar daripada PAS dan menyertai PKR sememangnya telah dijangka.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata tindakan Mohd Khairuddin sudah dapat dibaca oleh barisan kepimpinan parti berikutan tindakannya yang tidak hadir dalam banyak program anjuran parti berkenaan.

"Tindakan dia (Mohd Khairuddin) keluar (daripada PAS) tidak membawa apa-apa kesan kepada PAS, kami sudah pun mempunyai calon muda dan profesional untuk diletakkan bertanding di kawasan DUN Paya Jaras pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Anggota PAS di sana telah bersedia berjuang untuk mempertahankan kerusi DUN ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Sungai Buloh pada Ahad, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha PAS Selangor meninggalkan PAS dan menyertai PKR.

Ketika ditanya sama ada PAS Selangor menjangkakan terdapat lagi ADUN dari parti berkenaan yang akan keluar menyertai parti lain menjelang PRU14 nanti, Sallehen berkata beliau yakin tiada lagi yang akan berbuat demikian.

Pada PRU13, Mohd Khairuddin menewaskan calon BN, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dengan majoriti 5,522 undi.

Mohd Khairuddin dijangka mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras pada PRU14.

Bagaimanapun, beliau bakal menghadapi saingan tiga penjuru apabila parti lamanya dan BN akan meletakkan calon untuk bertanding di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA