Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kegagalan Dr S Streram untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu merupakan satu tindakan zalim atau ‘xiou ren’.

Kata Anwar, ia merupakan satu tindakan yang tidak adil apabila pakar bius itu tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon untuk mengesahkannya bertanding di DUN Rantau sebagai pencabar kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Dia (Dr Streram) nak masuk pusat penamaan calon tak boleh. Ini tak fair. Ini zalim. Tahan orang, tipu orang, bukan xiou ren ke?

“Streram mahu masuk, dia tahan, sebab mahu Mat Hasan (Mohamad Hasan) menang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 100 penduduk India di Taman Sri Ramai, Rantau, malam tadi.

Pilihan raya kecil (PRK) Rantau diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau pada PRU14 tidak sah dan terbatal.

Beliau kemudiannya gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon PRU14 selepas Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Anwar dalam ceramahnya turut menegaskan agar pengundi di Rantau tidak memberi sokongan kepada orang yang menipu.

“Jangan sokong orang tipu. Saya akan datang hampir tiap malam bagi penjelasan keliling Rantau.

“Rantau sebelah Port Dickson. Saya orang Port Dickson sekarang, jangan lupa.

"Saya akan pastikan pembangunan di PD akan sampai di Rantau,” katanya.