Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tohmahan ke atasnya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai 'peluru kapur'.

Ia berikutan banyak isu yang akan dibangkitkan oleh Pakatan Harapan (PH) terutamanya menjelang peringkat akhir kempen.

Beliau turut menerima panggilan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memintanya supaya lebih berhati-hati.

“Saya tidak ada bincang apa-apa. Dia suruh saya berhati-hati. Dia tidak cakap pun mengenai sembilan isu yang akan dibangkitkan oleh PH.

"Banyak yang akan dikeluarkan semasa PRK ini terutamanya di peringkat akhir. Satu-satu sudah keluar. Tapi semuanya hanya 'peluru kapur',” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, Negeri Sembilan.

Tambahnya, tidak ada perbualan lanjut antara beliau dan Najib melainkan nasihat berkenaan melalui panggilan telefon yang dibuat malam tadi.

"Najib tidak kata apa, dia suruh saya berhati-hati sahaja. Dia kata “Mat, kamu kena hati-hati”.

"PH will look after my head. Biasalah dalam pilihan raya,” jelasnya.