Pergerakan Pemuda UMNO hanya akan menekankan isu semasa yang memberi fokus kepada golongan peniaga dan usahawan bumiputera pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perhimpunan kali ini juga akan membangkitkan beberapa isu berkaitan usahawan dengan lebih terperinci.

Katanya, fokus kali ini tidak hanya kepada politik yang mungkin dilihat retorik oleh sesetengah pihak.

"Kita fokus kepada isu sebenar seperti usahawan bumipitera dan satu dua isu lain.

"Kita bukan memberi fokus kepada isu politik semata-mata kerana cakap politik adalah retorik," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dana Bumiputera anjuran Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan membentangkan hasil kaji selidik dan kajian berhubung usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera pada Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung dari Disember 8-12.

Jelasnya, hasil yang akan dimasukkan di dalam Kad Laporan Ekonomi Bumiputera itu sekali gus akan menepis dakwaan golongan Bumiputera dipinggirkan dari aspek berkenaan.

Dalam pada itu kata Khairy, Pemuda UMNO juga akan memberi penekanan kepada rungutan di kalangan usahawan bumiputera di peringkat bawahan yang bermasalah untuk mendapatkan pinjaman perniagaan.

"Kita rasa ada keperluan untuk membangkitkan isu dana bumiputera. Kita mahu tahu di mana jurang yang wujud menyebabkan ada yang tak dapat, susah dapat pinjaman, dengan segala banyak dana dan institusi yang ada.

"Kita nak pastikan dana itu sampai kepada usahawan tersebut," jelasnya.

Kad Laporan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dilancarkan pada November 2014.

Ia merupakan satu agenda dalam Memperkasa Agenda Bumiputera dan diletakkan sebagai salah satu tajuk utama pembentangan belanjawan negara.