Pengundi di kerusi Parlimen Iskandar Puteri serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai dan Kota Iskandar diingatkan supaya memilih calon Barisan Nasional (BN) yang berasal dari kawasan berkenaan dan menolak calon nomad.

Ini perlu bagi membantu BN merancakkan lagi pembangunan yang pesat di kawasan Parlimen itu, yang dahulunya dikenali sebagai Gelang Patah, kata Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pengundi di Parlimen berkenaan juga perlu membuatkan penyandang kerusi itu, Lim Kit Siang dari DAP, menjadi wakil rakyat buat kali terakhir menerusi undi mereka dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Mohamed Khaled menegaskan, ia satu cabaran buat pengundi Parlimen berkenaan untuk menolak calon nomad itu dan memilih calon tempatan dari BN.

"Semua mereka ini (calon BN) adalah mereka yang datang dari Gelang Patah, anak jati Gelang Patah. Mereka bukan calon nomad.

"Saya yakin tentu orang Gelang Patah akan menangkan anak jati Gelang Patah. Jika mereka tidak menang, di mana mereka nak bertanding? Di sinilah. Inilah cabaran orang Gelang Patah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembinaan sekolah agama kerajaan (SAKJ) fasa lima Taman Nusantara dan Taman Pulai Emas di Iskandar Puteri.

Jelasnya lagi, kesemua bakal calon BN yang dipilih di Parlimen dan DUN itu adalah calon anak jati kawasan berkenaan yang mampu berkhidmat untuk rakyat.