Mana-mana ahli UMNO yang tertarik dengan fitnah golongan kecewa dengan parti diminta segera membuat keputusan meninggalkan organisasi keramat orang Melayu itu.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sehingga kini masih ada ahli atau kepimpinan yang bertindak menjadi gunting dalam lipatan kerana tidak yakin dengan perjuangan UMNO selama ini.

"Kita bimbang kewujudan mereka akan merosakkan parti daripada dalam dan pada masa yang sama merencatkan usaha menyatukan semua bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Kita juga mohon pihak pengurusan parti segera menyiasat dan membuat keputusan terhadap aduan-aduan pengkhianatan dan tindakan sabotaj ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian.

"Kita percaya tindakan 'penyucian ini perlu dilakukan segera bagi mempersiap parti menjelang PRU. Pada dasarnya, parti memerlukan jentera yang setia dalam menakhoda cabaran PRU ke-14 nanti," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom berkata, mana-mana anggota UMNO yang masih berpihak dan menyokong Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir boleh keluar daripada parti itu kerana hanya merosakkan perpaduan dalam parti.

Tegas Mohd Johari, sekiranya anggota terbabit kekal dalam UMNO, ia hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

Dalam pada itu jelas Shaiful, salah satu punca yang dikenal pasti ialah sabotaj dalaman di dalam parti.

"Lantaran itu berdasarkan pengalaman lalu, saranan Johari agar ahli yang menyokong Mukhriz dan parti Bersatu segera mengistiharkan keluar UMNO benar-benar tepat dan kena pada masanya.

"Ia membolehkan UMNO menghadapi golongan ini secara 'gentleman' dalam gelanggang politik dan tidaklah pula kumpulan berkenaan menjadi spesis anai-anai yang akhirnya memusnah dan mereputkan parti dari dalam.

"Konsepnya mudah, keluar sahaja parti kalau dalam hati mana-mana ahli UMNO masih ada bayangan Mukhriz," katanya.

Pada Isnin, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan melahirkan keyakinan UMNO tidak mudah tergugat dengan kemunculan parti Bersatu yang disifatkannya cubaan untuk menggugat kestabilan politik negara.

Sebelum ini, Shaiful berkata parti Bersatu yang ditubuhkan golongan kecewa dan serpihan UMNO bukanlah sebuah organisasi yang bersandarkan kepada perjuangan namun lebih untuk menyemai rasa benci dan dendam peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, asas penubuhan parti itu juga tidak boleh dijadikan sandaran oleh rakyat yang dahagakan agenda pembelaan tetapi sekadar menguntungkan segelintir kumpulan semata-mata.