Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan wujud campur tangan oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan beberapa pendakwaan ke atas individu yang kini memegang jawatan dalam kerajaan di tarik balik.

Mengulas mengenai trend pengguguran kes mahkamah ke atas beberapa individu oleh mahkamah kebelakangan ini, Ahmad Zahid berkata, rakyat mengetahui perkara itu bukan salah sistem kehakiman sebaliknya di bawah arahan pihak tertentu.

Menurut Ahmad Zahid, dalam hal tersebut rakyat menuntut keadilan dan mencari kebenaran dan mahkamah adalah rujukan terakhir untuk menentukan keadilan itu diperolehi.

“Mana mungkin tuduhan ditarik sebelum perbicaraan seterusnya dilakukan ataupun penghapusan terhadap sesuatu tindakan semata-mata mahu menyelamatkan seseorang kerana seseorang itu telah menjadi penguasa.

“Saya rasa rakyat boleh menilai sendiri dengan apa yang sedang berlaku sekarang,” katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.

Zahid berkata beliau tidak menuduh wujudnya campur tangan berkenaan, namun itulah perkara sebenarnya yang berlaku.

Pada masa yang sama, mengenai dakwaan bahawa pertuduhan-pertuduhan yang sedang dihadapi bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, selain perkembangan terbaharu pada Rabu apabila tahanan reman ke atas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Azeez Rahim, bertujuan melumpuhkan lagi UMNO, Ahmad Zahid menyifatkan perkara tersebut hanyalah sekadar bacaan politik oleh sesetengah pihak.

“Itu mungkin sekadar bacaan politik. Kita tidak menolak dakwaan bahawa rule of law (prinsip undang-undang) di negara ini telah disalah gunakan dan mempunyai objektif politik. Sudah tentu kita mahu prinsip tersebut dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata pihaknya harapkan apa yang dilakukan oleh badan dan agensi siasatan yang selama ini profesional akan dapat meneruskan profesionalisme itu.

“Saya yakin mereka boleh lakukan. Tidak harus ada arahan atau campur tangan daripada mana-mana pihak di luar jika rule of law ini diterjemahkan maka tentunya tatacaranya akan dilalukan sepenuhnya.

Bukannya hukuman telah dibuat sebelum pertuduhan dan keputusan mahkamah itu dijatuhkan ke atas seseorang,” katanya.

Pada masa yang sama, ditanya berkaitan perkembangan terkini siasatan ke atas beliau berhubung dana sebuah yayasan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu terpulang kepada badan penyiasat sama ada dakwaan akan diteruskan atau sebaliknya.

“Terpulang kepada badan penyiasat. Saya telah memberikan keterangan dan jika saya mahu dibawa ke muka pengadilan, saya bersedia kerana mereka mempunyai hak untuk membawa seseorang ke muka pengadilan asalkan tiada arahan luar,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pihak supaya reda dengan apa yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Jangan menuduh agensi-agensi berat sebelah ketika mereka melakukan tindakan secara profesional,” katanya.