Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dicalonkan Pas Kawasan Kota Bharu untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden Pas pada muktamar parti awal Jun ini.

Pengumuman pencalonan tersebut dibuat yang dipertuanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada satu mesyuarat khas Isnin.

Menurut Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, pencalonan Tuan Ibrahim bagi menggantikan Abdul Hadi dibuat berdasarkan tahap kesihatan presiden Pas itu yang dikatakan merosot, serta ketokohan yang ada pada Tuan Ibrahim selaku ulama dan berpengalaman.

“Kami penuh yakin dengan kemampuan beliau untuk memimpin Pas tambahan pula beliau telah lama dididik dan dilatih oleh Tok Guru Haji Hadi sendiri.

“Kami tekan supaya perpaduan dan keutuhan parti tidak pecah dan kami yakin dengan mengemukakan nama Tuan Ibrahim selaku presiden, insyaAllah dapat teruskan kesinambungan,” kata Wan Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di pejabat Pas kawasan Kota Bharu sebentar tadi.

Wan Abdul Rahim juga memaklumkan Pas Kota Bharu tidak mencadangkan calon bagi jawatan timbalan dan naib presiden untuk mengelak berlaku kontroversi.

Tegasnya, cukup sekadar pencalonan bagi jawatan presiden yang dilihat sudah berlainan berbanding kawasan lain yang mungkin mahukan Abdul Hadi untuk meneruskan kepimpinannya.

Keputusan dibuat oleh 11 daripada 13 ahli jawatankuasanya yang mengadakan mesyuarat pada Sabtu.

PAS Kota Bharu menjadi kawasan pertama yang mencalonkan nama lain selain Abdul Hadi.