Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata tuduhan rogol seorang gadis lebih 20 tahun lalu terhadapnya merupakan konspirasi paling kotor pernah berlaku dalam sejarah politik negara.

Beliau yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dalam catatan terbaharu di akaun Facebooknya menambah bahawa tohmahan itu merupakan satu kecemburuan politik.


Katanya, apa yang berlaku merupakan ragam manusia apabila ada kejayaan dan kehebatan.

Jelasnya lagi, pasti berlaku kecemburuan negatif dan destruktif yang cuba meranapkan pencapaian positifnya.


Pada 1994, Abdul Rahim didakwa atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak bawah umur. Tuduhan itu, bagaimanapun, ditarik balik oleh pihak pendakwaraya.

Menurut Abdul Rahim lagi, selepas dirinya dibersihkan daripada pertuduhan itu, beliau kembali memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO namun hilang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.