Perwakilan Amanah Perlis, Muhammad Saad@Yahya menegur Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden parti yang masih tidak membuat lawatan ke negeri tersebut biarpun sudah tujuh bulan dipilih menganggotai Kabinet.

Teguran itu dibuat ketika membahaskan pidato presiden di Konvensyen Amanah Nasional 2018 yang diadakan di Ipoh, Perak pada Sabtu.

"Kami di Perlis, pertanianlah sumber kami tetapi tujuh bulan dah dilantik jadi menteri pertanian tetapi masih tak jumpa jalan nak ke Perlis.

"Orang kata, menteri dari Amanah tapi tak nampak bayang pun datang Perlis," katanya.


Perwakilan Perlis itu juga menggesa Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan agar mengambil berat tentang veteran tentera dan mencadangkan seorang pegawai khas dilantik untuk menguruskan perkara tersebut.

Amanah mengadakan konvensyen pertamanya selepas membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan.