Tutup

Tular: Kabinet Bayangan BN-Pas Pasca PRU15? - Tok Mat PM, Zahid dan Khairy tersingkir

Tular: Kabinet Bayangan BN-Pas Pasca PRU15? - Tok Mat PM, Zahid dan Khairy tersingkir
Pada Sabtu, Muktamar Tahunan Pas kali ke-65 meluluskan usul supaya pimpinan Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama memeterai perjanjian politik dengan UMNO. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Infografik Kabinet bayangan gabungan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pas Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mula tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak Sabtu.

Malah, ia turut mengundang cakap-cakap politik dalam kalangan netizen meskipun kesahihannya boleh diragui.

Daripada infografik berkenaan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Perdana Menteri manakala, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Penasihat Kerajaan serta dijangka dianugerahkan 'Tun' pada waktu itu.
Selain itu, 26 pemimpin BN dan Pas turut dilantik sebagai anggota Kabinet yang rata-ratanya terdiri daripada muka-muka lama.

Antara muka lama dalam politik yang memegang jawatan menteri kanan, ialah bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Kewangan), bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri (Menteri Dalam Negeri), dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan (Menteri Pertahanan).
Turut berada dalam Kabinet, ialah Datuk Seri Ahmad Maslan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan ndustri), Datuk Seri Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan), Tun Faisal Ismail (Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia), Datuk Lokman Noor Adam (Menteri Luar Negeri) dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Menteri Pertanian).

Pada Sabtu, Muktamar Tahunan Pas kali ke-65 meluluskan usul supaya pimpinan Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama memeterai perjanjian politik dengan UMNO.

Kali terakhir Pas mengadakan perjanjian politik ialah bersama DAP pada 2008 sebelum ia ditamatkan setelah didakwa berlaku pelanggaran syarat pada Julai 2015.

26 pemimpin BN dan Pas turut dilantik sebagai anggota kabinet yang rata-ratanya terdiri daripada muka-mula lama.