Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah pernah melantik ahli politik sebagai pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, ujarnya pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan ahli politik berkenaan.

"Kita dulu masa PH, kita lantik orang yang ada kelayakan bukan ahli politik mana-mana parti. Kebanyakan mereka orang yang profesional yang dilantik kerana kebolehan mereka. Bukan ahli mana-mana parti," ulas Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian selepas mendakwa tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik beberapa ahli politik bagi jawatan itu sebagai salah guna kuasa.

Ketika ditanya apakah pendiriannya berkenaan tindakan yang sama diambil oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam melantik beberapa bekas menteri sebagai pengerusi GLC di negeri itu, tegas Dr Mahathir, ia dilakukan berdasarkan kelayakan dan kebolehan seseorang ahli parlimen itu.