Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa melalui masa depan gelap bersama Pakatan Harapan walaupun lari dari asas sebenar penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Pengerusi PPBM itu kini terpaksa menelan semua kenyataan mereka sebelum ini yang mendakwa mereka mengutamakan Melayu dalam perjuangan.

"Bukalah semula kenyataan-kenyataan awal daripada pimpinan PPBM sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Mereka berdua mendakwa kononnya PPBM adalah parti yang akan mengantikan UMNO. Mukhriz sendiri kata PPBM lebih baik daripada UMNO.

"Mukhriz kata, prinsip perjuang PPBM untuk Melayu dan Bumiputra lebih baik daripada UMNO. Nampaknya jelas semua itu cakap kosong sahaja kini. Pimpinan PPBM masih terkapai-kapai mencari hala tuju," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Jelas Shamsul lagi, contoh jelas dapat dilihat daripada tindakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menjadi Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN).

"Shafie sendiri cabut awal lagi dengan menubuhkan parti lain kerana jika dia bersama PPBM, masa depannya dalam politik Sabah akan lebih hancur kerana PPBM ini ditolak orang Sabah.

"Paling nyata jika PPBM bersama DAP atau AMANAH, maka ternyatalah mereka menyokong Konsep Liberal, kesamarataan, tiada lagi agenda bumiputera, apatah lagi tidak akan ada usaha seperti yang UMNO lakukan," ujarnya.

Tambahnya, Bajet Alternatif 2017 Pakatan Harapan sendiri tidak langsung menekankan agenda bumiputera dan lebih kepada kesamarataan.

"Maknanya tiada suara bagi pimpinan Melayu dalam Pakatan Harapan. Pastinya mereka akan 'dicucuk hidung' oleh DAP kerana cerminnya boleh dilihat dalam Bajet 2017.

"Sebab itu bagi saya, sangat memalukan bila pimpinan PPBM bercakap soal rasuah misalnya, kenapa bila isu berkaitan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mereka mengunci mulut dan diam seribu bahasa. Kenapa tidak lantang bila berhadapan isu ini?

"Pada saya, PPBM takut kehilangan DAP kerana hanya DAP yang mampu menyambung nyawa PPBM ketika in. Justeru itu jugalah Dr Mahathir akan melakukan apa sahaja termasuk mengadai prinsipnya demi survival PPBM," katanya.

Katanya lagi, rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan bumiputra, perlu menilai perbezaan UMNO dan PPBM dalam aspek yang lebih besar.

"Pakatan Harapan dianggotai parti yang berlainan matlamat dan punyai agenda masing masing. Lihatlah sehingga kita mereka tidak boleh putuskan siapa bakal perdana menteri dalam angan-angan memerintah negara.

"Muhyiddin berminat menjadi perdana menteri, PKR tetap mahukan Anwar, jadi bagaimana mahu memerintah kita tiada kesefahaman?

"Namun PPBM tiada pilihan, hanya bergabung dengan DAP, AMANAH dan PKR sahaja boleh menjamin masa depannya daripada menemui jalan mati," jelasnya.

Jika itu pilihan Dr Mahathir, Shamsul menyifatkan PPBM tiada bezanya dengan DAP, AMANAH atau PKR.

"Mereka juga liberal, tiada agenda Bumiputra dan mereka juga berjuang kesamarataan dan jauh berbeza berbanding UMNO dan BN. Kini yang jelas parti parti PPBM, AMANAH dan PKR secara tidak sedar sebenarnya mereka sedang membantu menjayakan matlamat perjuangan DAP.

"Justeru itulah kita lihat pimpinan DAP tersenyum lebar sekarang kerana ramai pimpinan parti parti dalam pakatan Harapan sekarang sedang bersama DAP mencapai hasrat DAP yang telah bertahun tahun mereka impikan.

"Percayalah DAP sedang mencatur bagi meningkatkan kekuatan politiknya dengan memperalatakan semua parti sekutunya dengan mengambil kesempatan semua yang memerlukan sokongan bagi menjayakan agenda sempit mereka. Paling pasti DAP yang bakal meraih untung besar," katanya.