Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menabur janji kosong untuk meraih simpati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pemimpin dalam Pakatan Harapan tidak realisitik dan hanya memanipulasi emosi rakyat.

Menurut Mahdzir, rakyat perlu menilai secara menyeluruh bagi mengelak terperangkap dalam permainan politik pembangkang.

“Tun boleh… boleh janji gunung, langit, bukit semua lah. Apa pun Tun boleh janji sebab beliau pembangkang.

“Tetapi kalau anda kerajaan, anda tidak boleh hendak buat sebab anda kerajaan. Kita mesti tengok yang realistik… yang betul-betul boleh buat.. Tapi kalau anda jadi pembangkang, anda boleh cakap lah apa benda yang anda nak cakap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan Serada di Kuala Terengganu pada khamis.

Semalam Tun Dr Mahathir mendakwa hanya memerlukan dua tahun untuk memulihkan negara.

Beliau juga sudah mengkaji dan mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diselesaikan demi kebaikan rakyat.

Bekas perdana menteri itu juga berkata sudah mempunyai idea dan perancangan yang perlu dilakukan jika berjaya membentuk kerajaan pada PRU14.