Pemberian Program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) tidak ada kaitan dengan dakwaan usaha kerajaan negeri Kedah atau persekutuan yang memberi gula-gula kepada masyarakat susulan selepas lawatan pimpinan mana-mana ahli pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Barakah adalah usaha menyuruh menyeleraskan skim bantuan pelbagai agensi untuk disalurkan pada sasaran memerlukan supaya tidak ada pertindihan.

"Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad terkeliru apabila sekadar menyebut kotak makanan Barakah sebagai satu-satunya pemberian kerajaan negeri Kedah kepada penduduk sama ada di Pulau Tuba atau tempat lain.

"Hakikatnya Barakah mempunyai lima komponen yang disesuaikan dengan kumpulan sasar. Bagi komponen Barakah Anak Muda sepanjang 2016-2017 RM2 juta disalurkan bagi skim.latihan misalnya program IMAN, latihan kepimpinan, Town Hall TN50 ANAK, Kedah Job Fair selain insentif pengurusan persatuan mahasiswa. Selain SUKDA yang membolehkan 1500 bakat sukan dicungkil di Kedah.

"Demikian juga ADAB, ratusan pemain bola sepak pelapis dilahirkan demi memenuhi tuntutan bahawa sukan sudah menjadi satu industri kerjaya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

TONTON: Tun M keliru peranan Barakah untuk rakyat Kedah

TONTON:
Program BARAKAH bantu golongan memerlukan

Shaiful mengulas catatan terbaharu Dr Mahathir di laman blognya yang menyifatkan Barakah merulakan gula-gula daripada kerajaan.

Tambah Shaiful, ia termasuk komponen Barakah Pendidikan dan Modal Insan yang memberi peluang kepada 1,600 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk mendapat bimbingan tuisyen percuma melibatkan kos RM600,000.

"Jelas dari keputusan SPM 2016 pelajar yang tidak pernah diberikan harapan berjaya mencapai keputusan membanggakan.

"Barakah Pendidikan dan Modal insan turut menyediakan penyaluran bantuan perkepala untuk semua pelajar Sekolah Agama Rakyat dengan nilai RM2.7 juta setahun di Kedah," jelasnya.

Tegas Shaiful, ia juga satu hak yang dinafikan Dr Mahathir sendiri pada masa saat menjadi Perdana Menteri atas justifikasi kononya sekolah agama melahirkan kader Pas.

"Bukan itu sahaja, melalui skim Barakah ini, 11 buah pondok pengajian agama di bawah naungan Yayasan Pondok Malaysia yang beroperasi di Kedah dibantu oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dengan sokongan kerajaan Persekutuan.

"Bantuan meneruskan geran berjumlah RM330,000 bagi membantu aspek pengurusan selain urusan belian kitab pengajian.

"Skim ini juga merupakan antara kegagalan anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semasa menjadi Menteri Besar Kedah untuk melaksanakannya sungguhpun ia terkandung dalam akujanji PRU KE13 khusus untuk Kedah.

"Menjadi menteri besar bukan sekadar menuding jari ataupun mencari alasan 'tiada kerjasama kerajaan persekutuan', tetapi ianya memerlukan dedikasi dan sentiasa mengambil risiko demi rakyat, " ujarnya.

Kata Shaiful, Dr Mahathir juga terlepas pandang kerana skim Barakah adalah sistem bantuan kepada rakyat di Kedah yang dilaksana secara konsisten tanpa perlu menunggu musim pilihanraya.

"Ia juga bukan dilakukan secara tergesa-gesa selepas pemimpin pembangkang melawat sesuatu kawasan.

"Barisan Nasional (BN) yang menunjangi kerajaan negeri sentiasa berkhidmat tanpa musim pada setiap ketika dan waktu.

"Biarlah Dr Mahathir menuduh kononnya Barakah ini adalah gula-gula kerajaan sama seperti dia berpolemik dengan menyatakan BR1M itu rasuah.

"Secara realitinya, kerajaan ini memahami keperluan rakyat dan berusaha memenuhi keperluan berkenaan sebaik mungkin," katanya.

Bagi Dr Mahathir tegas Shaiful, ia mungkin gula-gula kerana dia dan keluarganya sudah kaya-raya hasil apa yang dikatakan 'kecekapan berniaga'.

"Namun bagi rakyat kebanyakkan yang dikatakan 'gula-gula' itulah sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup dan bebanan keluarga mereka.

"Pemuda UMNO Kedah menyanjung tinggi usaha dan komitmen Kerajaan negeri dan Menteri Besar yang ingin terus menerus membela nasib rakyat dengan terus-menerus membekalkan kotak 'Barakah' pada masa yang akan datang.

"Bagi kita, inilah kerajaan yang mesra rakyat dan sentiasa peka terhadap masalah dan keperluan semasa rakyat," jelasnya.