Pendedahan gaya hidup mewah cucu Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai satu strategi untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar dalam kerajaan.

Menurut bekas perdana menteri itu, dalam politik, serangan sebegitu merupakan satu strategi yang biasa digunakan.

"Untuk mengalihkan perhatian, pelbagai perkara negatif dikorek. Saya pun boleh dedah banyak perkara negatif jika saya korek," katanya pada satu sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen hari ini.

Menurut satu laporan pada awal minggu ini, Meera Alyanna Mukhriz, anak kepada Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, disifatkan hidup mewah kerana dilihat sering menggayakan pakaian berjenama.

Selain itu, laporan tersebut turut menumpukan kepada percutian Meera Alyanna, yang juga dikenali sebagai Ally yang turut memiliki sebuah kapal layar sempena namanya.