Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai pemimpin yang tidak mengambil berat soal pembangunan di Sabah sepanjang 22 tahun memegang tampuk pemerintahan negara.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara ini dapat dilihat menerusi kegagalan Dr Mahathir meluluskan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kota Kinabalu dan daerah Ranau yang diusulkan pada era kepimpinan mantan perdana menteri itu sendiri.

Tambahnya, jalan raya sejauh 60 kilometer yang menelan belanja RM288 juta itu bagaimanapun hanya direalisasikan setelah beliau menjadi perdana menteri.

"Soal pembangunan di Sabah, saya sentiasa ambil berat, dan pada hari ini pembinaan jalan raya ini kita realisasikan walaupun pernah diusulkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-7 di bawah pemerintahan 'orang itu' (Tun Mahathir) tetapi dia tidak laksanakan.

"Sekarang dia tawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri semula. Tapi jangan lupa dia tak ambil berat tentang orang Tuaran dan orang Kiulu. Malah jalan ini pun kita telah lama tunggu untuk direalisasikan dan pada hari ini, selepas saya menjadi Perdana Menteri, saya luluskan dan laksanakan pembinaan jalan ini," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ketika membuat tinjauan Pembinaan Jalan Raya Telipok- Kiulu- Randagong, di Kampung Pukak, hari ini.

Pembinaan jalan itu mula diusulkan oleh Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau sejak hampir 17 tahun iaitu dari tahun 1999 hingga 2016.

Pembinaan jalan ini telah bermula pada Oktober 2016 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2019.

Najib turut memberikan satu tawaran istimewa kepada masyarakat Kiulu sekiranya Barisan Nasional terus diberikan mandat untuk menerajui tampuk kepimpinan negara.

"Saya nak buat satu tawaran istimewa kepada rakyat Kiulu. Kalau nak saya datang semula ke Kiulu, berilah sokongan kepada Barisan Nasional dan selepas pilihan raya nanti saya akan datang lagi ke Kiulu dan merasai sendiri keunikan berakit di Sungai Kiulu," katanya.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Ahli Parlimen Tuaran; Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dan barisan pemimpin negeri Sabah.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 hadirin.