Wawancara Tun Dr Mahathir Mohamad bersama media Australia baru-baru ini memberi bayangan seolah-olah pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak ikhlas dalam perjanjian melantik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8, kata Datuk Rizal Mansor.

Pegawai khas isteri perdana menteri itu berkata dalam wawancara itu, Dr Mahathir menunjukkan tembelangnya apabila berkata undinya 'mungkin' sama seperti Anwar.

"Perkataan 'mungkin' itu secara jelas menunjukkan Mahathir tidak iklas dalam 'perjanjian' untuk melantik Anwar menjadi PM selepas dua tahun Anwar keluar dari penjara.

"Jangan kita lupa insiden Mahathir buat-buat sibuk pegang handphone apabila semua pemimpin pembangkang diminta angkat plakad 'Anwar PM ke-7' tak lama dahulu.

"Dan, jangan kita pernah lupa Anwar kempunan nak jadi PM kira-kira 20 tahun lalu juga sebab Mahathir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rizal juga berkata, lebih kurang setahun yang lalu, Dr Mahathir berjanji untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Hari ini, pemimpin 93 tahun itu pula dinamakan untuk menjadi PM ke-7 jika BN berjaya ditewaskan pada PRU14 dengan perjanjian untuk menyerahkan jawatan nombor satu itu kepada Anwar (Ibrahim) selepas dua tahun," katanya lagi.

Tegas beliau, tidak mustahil selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Mahathir akan melantik anaknya sebagai perdana menteri ke-8 kerana tidak ada siapa yang berani menentangnya.

"Pada masa itu lah kita dapat tengok DAP, Amanah dan PKR sekalipun tak mampu nak melawan Mahathir sebab semua sudah kekenyangan dengan dedak yang dia hidangkan," tulis Rizal.