Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kemaruk kuasa mahu jadi Perdana Menteri selama lamanya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata Dr Mahathir sudah berjanji bahawa akan menyerahkan jawatan itu kepada calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tempoh dua tahun pemerintahan.

“Ada orang tanya berapa lama Tun nak jadi perdana menteri. Saya sebut beliau sekarang dah umur 93 tahun campur dua tahun 95... kalau campur lima tahun lagi dah 100 tahun.

“Kalau dalam keadaan itu beliau fahamlah. Takkan beliau kemaruk kuasa nak tahan sampai bila, kita manusia biasa ada hadnya, beliau pun tahu,” katanya pada ceramah Harapan di Dewan Bagan Pinang, Port Dickson, malam ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mukhriz mendakwa ada pihak yang cuba menghasut hubungan antara Perdana Menteri dan Anwar.

Tambahnya prestasi Pakatan Harapan juga tidak lari daripada difitnah apabila menuduh kerajaan telah membelakangi rakyat.

“Saya kata sabarlah. Tak realistik dalam tempoh lima bulan atau dalam lima tahun kita nak betulkan kerosakan berpuluh tahun," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen Port Dickson.

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam, barisan kepimpinan PH telah mengadakan ceramah malam terakhir.

Antara yang hadir Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman..