Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang bertanggungjawab merosakkan parti Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu katanya, Pas tidak akan sekali-kali bersama-sama parti yang diibaratkan seperti bahtera yang bocor.

Malah, katanya, pendirian sama juga ditujukan kepada Pakatan Harapan.

"Kita menganggap Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim menebuk bahtera Barisan Nasional. Kita (Pas) tak naik bahtera ni, sebab bahtera ini bocor dan kita tidak bersama Pakatan Harapan yang tebuk bahtera ini," katanya semasa Sembang Santai Bersama Ayah Chik di Kuala Ibai, di sini hari ini.

Abdul Hadi mendakwa Tun Mahathir mewujudkan masalah ekonomi kepada rakyat sejak menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981.

"Pada 80-an Mahathir mengambil alih (pentadbiran negara) bersama dengan dia Anwar Ibrahim jadi Timbalan Perdana Menteri.

"Dia memperkenalkan negara korporat, penswastaan. Kerajaan cari duit dengan berniaga dan tidak ada negara kebajikan. Apabila dikenakan cukai berlaku inflasi yang menyebabkan harga barang dan kos sara hidup naik," ujarnya.

Tegas beliau, strategi ekonomi digunakan parti itu semasa mentadbir Terengganu sebelum ini menunjukkan Pas berupaya mampu menguruskan soal pembangunan sesebuah negeri.

"Kita membawa agenda Islam kita sendiri, kita berjanji nak hapuskan GST, kita nak hapuskan SST, bagaimana caranya? Kita pernah memerintah Terengganu, iaitu kita urus harta bukan cukai, sumber bumi kita," tambah beliau.