Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor menyarankan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamadu agar belajar berniaga dari naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Saranan itu dibuat selepas semua cawangan kedai roti The Loaf milik Dr Mahathir ditutup bermula Jumaat lepas.

Rizal mendakwa Rafizi berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM 8 juta menerusi syarikatnya Invoke Solution Sdn Bhd selepas dua tahun beroperasi.

Katanya, Rafizi memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM500 ribu hasil wang simpanannya dalam Tabung Haji.

“Cuba bayangkan sekiranya 12 tahun (Rafizi) berniaga, berapa banyakkah pendapatan yang dapat dijana beliau?

“Tun Mahathir perlu malu kepada Rafizi dan perlu belajar dari dia bagaimana untuk menguruskan perniagaan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Baru-baru ini Dr Mahathir mendedahkan cuba menjual The Loaf bagi mendapatkan dana pilihan raya tetapi gagal selepas pembelinya didakwa didatangi pegawai lembaga hasil dalam negeri (LHDN).

Kesemua cawangan The Loaf di seluruh negara ditutup serta-merta Jumaat lalu kerana kegagalan itu.