Pertemuan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) disifatkan sebagai tindakan terdesak sehingga membelakangkan kepimpinan Pakatan Harapan yang lain.

Ia jelas apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu perbincangan diutamakan dahulu sebelum menerima Hindraf bagi menganggotai pakatan tersebut.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, percanggahan itu turut menunjukkan ketidaksepakatan dalam kalangan mereka.

“Tindakan Tun itu mungkin satu tindakan yang terdesak yang mana membelakangkan sendiri kepimpinan pakatan mereka kerana nafsu, pertimbangan peribadi dan emosi.

“Ia satu petanda di mana semakin dekat dengan PRU, semakin banyak lagi keretakan,” kata Hishamuddin selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar di Kuantan.

Beberapa hari lalu Tun Dr Mahathir telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy di Yayasan Kepimpinan Perdana bagi membincangkan kemungkinan Hindraf diterima sebagai rakan komponen kelima gabungan pembangkang itu.

Sementara itu, mengenai isu bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang kini ditahan reman SPRM, beliau mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu ghairah membuat sebarang tohmahan sehingga menjatuhkan hukum sebelum siasatan selesai.

Kata beliau, apa yang lebih penting adalah mencari kebenaran.

Tan Sri Isa sebelum ini ditahan reman, bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar di Kuantan.