Proses pengundian di daerah Semporna pada pagi ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Tumpuan juga terarah kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai dan isteri Toh Puan Siti Rukaiyah Panglima Abdullah yang tiba di SK Pekan Semporna II pada jam 10.40 pagi tadi untuk menunaikan kewajipan mengundi bagi Parlimen P. 189 Semporna dan DUN N. 53 Senallang.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul tepat jam 9.20 pagi dengan ditemani oleh isterinya Datin Seri Suriyani Shuib.

Beliau yang juga calon Parlimen P. 189 Semporna dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 53 Senallang itu mengenakan baju berwarna putih manakala Suriyani berbaju kurung putih sambil membuang undi.

Calon Parlimen Semporna dan DUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menunaikan tanggungjawab mengundi di SK Bubul, Semporna.

Manakala di lokasi lain, calon BN Parlimen Semporna, Datuk Ramlee Marahaban dan isterinya Datin Sarimah Busuran tiba di SK Bugaya untuk membuang undi dan dua lagi calon BN yang lain, iaitu Datuk Nasir Tun Sakaran (Senallang) membuang undi di SK Pekan Semporna serta Datuk Razak Tun Sakaran pula di SMK Tagasan.

Untuk rekod, di Semporna mempunyai sebanyak 32 pusat mengundi membabitkan seramai hampir 50,000 pengundi.