Kedudukan Muhammad Zahid Md Arip, Setiausaha Politik Perdana Menteri, yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad, masih belum diputuskan.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika ini khidmat setiausaha politiknya diteruskan seperti biasa sehingga mahkamah memutuskan sama ada dia bersalah atau tidak.

"Tunggulah. Ia tuduhan sahaja. Kita tak tahu betul atau tidak. Melainkan sudah sabit (kesalahan), itu mungkin kita akan tahu," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan 20 Tahun Muzium Kesenian Islam di sini pada Jumaat.

Menurut laporan Malaysiakini, nama Muhammad Zahid disebut dalam sembilan daripada 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohd Isa kerana didakwa menerima sogokan RM3 juta dari pembelian sebuah hotel di Kuching.

Muhamad Zahid didakwa menjadi perantara antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.

Muhamad Zahid sebelum ini telah ditangkap oleh SPRM pada Ogos 2017 berhubung urusan pembelian hotel itu dan telah direman selama lapan hari.

Terdahulu hari ini, Mohd Isa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Mohd Isa bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan