Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu segera berunding dengan parti pembangkang, terutamanya PAS berhubung agihan kerusi-kerusi pilihan raya, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin.

Sambil mengakui, proses dan gesaan tuntutan kerusi oleh mana-mana parti politik adalah lumrah dalam proses demokrasi negara, beliau menegaskan, terdapat beberapa kerusi yang ditandingi PAS sebelum ini yang wajar diserahkan kepada PKR.

"Kami telah mengenal pasti beberapa kerusi yang wajar diberikan kepada Keadilan memandangkan PAS telah gagal untuk memenangi kerusi-kerusi ini selepas bertanding di kerusi itu sejak beberapa penggal yang lepas.

"Keadilan sebagai parti pelbagai kaum yang paling ke hadapan dalam persada politik negara sewajarnya diberikan ruang untuk bertanding di kerusi-kerusi yang telah gagal ditawan PAS sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berikut adalah kenyataan media penuh AMK:

Angkatan Muda Keadilan merakamkan setinggi penghargaan atas kesudian Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia menjemput kami sebagai pemerhati di Muktamar Dewan Pemuda buat kali ke-57 yang berlangsung semalam di Kota Bharu.

Kami mengambil maklum akan gesaan Ketua Dewan Pemuda PAS, YB Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz, agar pimpinan tertinggi PAS untuk menuntut semula kerusi-kerusi pilihanraya yang 'dipinjamkan' kepada Keadilan dan DAP.

Kami juga faham akan sahutan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa semua kawasan pilihanraya akan dirundingkan bersama parti-parti lain dari blok parti pembangkang. Proses dan gesaan tuntutan kerusi oleh mana-mana parti politik adalah lumrah dalam proses demokrasi negara.

Angkatan Muda Keadilan juga berpandangan sewajarnya rundingan ini disegerakan oleh pimpinan Parti Keadilan Rakyat bersama dengan parti pembangkang lain terutamanya PAS.

Kami telah mengenal pasti beberapa kerusi yang wajar diberikan kepada Keadilan memandangkan PAS telah gagal untuk memenangi kerusi-kerusi ini hatta telah berulang kali bertanding di kerusi itu sejak beberapa penggal yang lepas.

Keadilan sebagai parti pelbagai kaum yang paling ke hadapan dalam persada politik negara sewajarnya diberikan ruang untuk bertanding di kerusi-kerusi yang telah gagal ditawan PAS sebelum ini.

Keadilan sehingga hari ini bukan sahaja satu-satunya parti dalam Malaysia yang memiliki wakil rakyat di setiap negeri bagi penggal ini, bahkan Keadilan juga telah mempunyai Cabang parti di kesemua kerusi Parlimen di negara ini iaitu sebanyak 222 cabang.

Oleh itu Angkatan Muda Keadilan akan memanjangkan cadangan kami kepada pimpinan parti untuk menuntut kerusi-kerusi ini bagi diserahkan kepada Keadilan untuk diwakili.

Angkatan Muda Keadilan mengambil semangat tema Muktamar Dewan Pemuda PAS semalam - Bertekad Melebar Muafakat - sekali lagi kami mengulangi pendirian agar semua pimpinan pembangkang waima dari Pakatan Harapan, PAS mahupun parti-parti pembangkang lain untuk segera ke meja rundingan bagi bermuafakat menentukan kedudukan kerusi pilihanraya menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 demi memastikan perlawanan satu lawan satu untuk berhadapan dengan regim Barisan Nasional.

Formula yang telah ditinggalkan dan usaha yang digagaskan oleh Ketua Umum Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan pakatan pembangkang yang kuat telah terbukti menjadi senjata ampuh untuk menewaskan Barisan Nasional di dalam pilihanraya.

Dr Afif Bahardin
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan