Program turun padang Pemimpin Bersama Rakyat merupakan kaedah terbaik untuk mendengar keluh kesah masyarakat seterusnya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.

Kesempatan seperti itu walau dalam kumpulan yang kecil, sememangnya menjadi platform kepada masyarat setempat berjumpa dengan pemimpin malah untuk mengajukan apa-apa perkara yang menjadi kesulitan kepada mereka terutama golongan di luar bandar.

"Sememangnya menjadi amalan barisan kepimpinan BN (Barisan Nasional) turun padang dalam mendekati rakyat dan ia bukan hanya semasa berkempen pilihanraya.

"Malah ia menjadi amalan dalam mana-mana program yang saya sertai supaya rakyat dekat di hati kita," ujar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar sendiri telah mengambil perhatian dan mengemukakan cadangan serta tindakan segera terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat.

Ia termasuk seperti bantuan kebajikan, program-program pemerkasaan wanita dan keluarga malah dasar-dasar kerajaan turut dijelaskan agar tidak mendatangkan kekeliruan di akar umbi.

Rohani sebelum itu menyertai Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Igan Tengah bersama calon BN N44 Jemoreng, Datuk Murshid DiRaja Juanda Jaya dan di Kampung Lintang Baru bersama calon BN N58 Balingian Abdul Yakup Arbi.

Beliau juga meninjau bilik gerakan BN di Mukah bersama calon BN N57 Tellian, Yussibnosh Balo.