UMNO Pulau Pinang akan mengambil balik enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini ditandingi parti Gerakan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan diteliti semula selepas Gerakan kini bukan lagi menjadi sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut Ahmad Zahid, Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dalam mesyuarat khas semalam menyatakan hasrat untuk mengambil semula enam daripada 13 kerusi yang sebelum ini ditandingi Gerakan.

Katanya, hasrat itu selaras dengan usaha UMNO untuk mengukuhkan kedudukan parti di peringkat negeri apabila Gerakan gagal memenangi kerusi itu dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini.

Menurut Ahmad Zahid, dengan pertambahan kerusi itu, UMNO akan bertanding sebanyak 21 kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang daripada keseluruhan 40 kerusi di negeri itu.

"BN meneliti permintaan itu serta mengambil peruntukan kerusi yang selama ini diberikan kepada Gerakan. UMNO mahu terus perkukuhkan kerusi bersama 15 kerusi yang sedia diperuntuk BN kepada calon UMNO menjadikan 21 kerusi bakal ditandingi oleh calon UMNO.

Katanya, gerak kerja dan hala tuju parti perlu dimulakan dari sekarang menuju pilihan raya ke-15 (PRU15).

"Walaupun PRU15 lama lagi, tetapi penyusunan gerak kerja harus berjalan sekarang, kerana semangat orang UMNO tinggi," kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, bagaimanapun, enggan memperincikan enam kerusi tersebut dan berkata hanya akan mendedahkannya apabila tiba waktu yang sesuai.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri perjumpaan bersama ahli-ahli UMNO negeri di Seberang Jaya, pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Setiausaha UMNO, Tan Sri Annuar Musa; dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan UMNO negeri agar terus mempertahankan kesemua 15 kerusi milik mereka pada masa ini selain bekerja keras untuk merebut semula kerusi yang kalah.