UMNO Bahagian Kluang akan tetap menjemput Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu pada 2 Ogos ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin berkata, bahagian itu tidak akan mengikuti langkah dua bahagian UMNO sebelum ini, yang membatalkan jemputan kepada Muhyiddin bagi merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Raub dan UMNO Bahagian Sungai Besar, .

Ini jelasnya, kerana, semua perancangan bagi mengadakan mesyuarat itu sedang giat dilakukan dan setakat ini, tiada sebarang perubahan akan dilakukan.

"Persediaan awal sebulan lebih awal untuk dapatkan perasmi pada mesyuarat 2 Ogos, hari Ahad ini."

"Kita ambil pendekatan untuk kekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang setakat hari ini tiada perubahan dan menyokong sikap kenyataan menteri besar (Johor) dan sikap terbuka UMNO Johor," katanya.

Ujar Norhalim, isu pengguguran itu adalah antara kerajaan dengan Muhyiddin.

Namun katanya, sebagai orang kedua dalam parti, ahli akar umbi khususnya di Johor tetap menghormati bekas menteri pendidikan itu yang lebih mengutamakan perpaduan dan kepentingan parti melebihi diri sendiri.

Bahagian Kluang merupakan UMNO bahagian yang pertama menjemput Muhyiddin bagi merasmikan mesyuarat perwakiilan, selepas penggugurannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, pada Selasa.

Selain Kluang, Muhyiddin juga dijangka merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, pada Ahad ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan tiada halangan kepada mana-mana bahagian di negeri itu untuk menjemput Muhyiddin sebagai perasmi mesyuarat perwakilan.