Lebih 1,000 buah rumah di Cameron Highlands dilawati ahli jawatankuasa 'UMNO Bantu Rakyat 2.0' pada hari kedua program itu dilancarkan hari ini.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (Bikum) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia membuktikan program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan selain penerimaan masyarakat terhadap aktiviti seumpama itu yang dianjurkan parti.

"Selain daripada program lawatan rumah, kita juga melaksanakan aktiviti pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Tahun Satu, servis minyak hitam motosikal, dekorasi rumah, servis elektrik di kediaman terpilih dan sebagainya.

"Saya lihat sambutannya amat mengalakkan dan yang penting, gerak kerja ini dilaksanakan oleh pimpinan UMNO Bahagian sendiri," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: UMNO bantu rakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama

BACA:
'UMNO Bantu Rakyat 2.0' akan jelajah 60 kawasan Parlimen - Shamsul Anuar

Program 'UMNO Bantu Rakyat 2.0' memberi tumpuan ke kumpulan sasar dan memastikan keluarga di lebih 60 kawasan Parlimen yang memerlukan bantuan terus terbela.

Ia sekali gus memperlihatkan kesungguhan dalam memperkasa imej parti yang sejak 71 tahun lalu mengutamakan kebajikan ahli dan rakyat sesuai dengan tanggungjawab sebagai pembela rakyat.

Dalam pada itu, kata Shamsul, Bikum turut menyediakan rawatan percuma kepada rakyat dan seramai lebih 80 orang urusetia dan Briged Bikum bersama dalam program di Sungai Koyan 1, Raub.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan program UMNO Bantu Rakyat yang akan menjelajah ke 71 lokasi seluruh negara.

Ia mensasarkan lebih 300,000 rakyat, khususnya luar bandar dan pedalaman, untuk menerima manfaat daripada program kali kedua anjuran Bikum ini.