Bukan Barisan Nasional dan UMNO yang sedang ber’honeymoon’, sebaliknya Kerajaan Pakatan Harapan yang boleh dianggap sedang melalui fasa itu, kata Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin.

Ujar ahli Parlimen Rembau itu lagi, UMNO kini sedang merangka strategi serta melalui penstrukturan semula sebagai usaha menjadi barisan pembangkang yang berwibawa, terutamanya dalam menghadapi sidang Parlimen nanti.

“Kita bukan honeymoon, kerajaan sekarang yang sedang honeymoon sekejap. Kita sedang merangka strategi, penstrukturan dan pemilihan parti.

"Kalau cakap banyak (sekarang ini), semua akan mengutuk kita, tetapi ia bukan bermaksud kita tak mahu jadi pembangkang yang berwibawa.

“Lagi pun PM (Tun Dr Mahathir Mohamad) kata, jangan telalu cepat nak nilai kerajaan kini. Jadi kita setuju dengan PM dan bagi peluang kepada mereka terlebih dahulu,” katanya kepada sidang media sewaktu Majlis Berbuka Puasa anjuran Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Post-mortem

Ditanya sekiranya Pemuda UMNO ada membuat post-mortem mengenai kekalahan mengejut Barisan Nasional sewaktu pilihan raya umum baru-baru ini, Khairy berkata, ia termasuk dalam tanggungjawab beliau yang diamanahkan oleh Pemangku Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun, terangnya lagi, masih banyak yang perlu perhalusi sebelum rumusan mengenai prestasi parti dapat dibentangkan.

Mengulas mengenai Tabung Harapan oleh Kerajaan kini pula, Khairy berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengkritik, kerana hasrat rakyat untuk membantu kerajaan harus dihormati semua pihak.

Namun, katanya lagi, Pakatan Harapan perlu memberi gambaran yang jelas mengenai tujuan sebenar tabung itu diwujudkan.

“Kerana beban hutang negara yang dikatakan mencecah RM1 trilion ini, adalah gambaran diberi oleh kerajaan, sedangkan bagi kami di Barisan Nasional, itu bukan gambaran yang menyeluruh. Perlu ambil kira juga kemampuan untuk kita membayar hutang.

“Jadi bagi saya tujuan untuk menampakkan beban hutang sebagai beban hutang yang besar dalam keadaan runcing, adalah untuk menyusun semula janji-janji manifesto mereka. Alasan hutang itu merupakan naratif yang akan mereka gunakan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Khairy mengulangi, walaupun solidariti rakyat untuk menyumbang kepada tabung itu tidak salah, penjelasan perlu diberi, dan jangan dijadikan alasan untuk melarikan dari daripada menunaikan janji pilihan raya.