Matlamat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjenamakan semula BN dan UMNO perlu dilakukan dengan lebih jelas dan terperinci, ujar Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Ia berikutan jika penjenamaan semula parti itu hanya menjurus kepada penukaran namanya, ia mungkin diibaratkan seperti 'ular bersalin kulit'.

"Rakyat ingin tahu apakah bentuk penjenamaan tersebut. Adakah ia sekadar menukar nama BN semata-mata? Rakyat tidak mahu penukaran nama semata-mata seperti ular bersalin kulit. Kulit bertukar tetapi isi masih sama.

"Jadi rakyat ingin tahu adakah perubahan struktur dalam BN ini dan sejauh mana perubahan dalam sistem itu sendiri yang dapat memulihkan kekuatan BN seperti dahulu dan mengembalikan sokongan," katanya kepada Astro AWANI.


Mengulas lanjut, beliau menegaskan, jenama BN itu sendiri tidak salah, sebaliknya kesalahan disebabkan tindak-tanduk kepimpinannya pada era lalu.

"Kepimpinan BN pada era sebelum PRU yang menjejaskan keyakinan rakyat menyebabkan mereka tidak yakin terhadap parti. Ketika itu kepimpinan sukar menerima teguran dari ahli mereka. Kepimpinan yang terlibat dengan salahguna kuasa. Namun ia tidak bermakna semua pimpinan BN, ada juga individu tertentu yang mencemarkan UMNO dan BN sehingga rakyat menjadi muak," kata beliau.

Walaupun penjenamaan semula BN dan UMNO itu agak sukar dan agak terlambat, namun ia tetap perlu dilakukan.

"Langkah ini walaupun terlewat, namun ia perlu dihuraikan lebih spesifik termasuk langkah jangka panjang dan memastikan ia memberi keuntungan kepada rakyat. Hakikatnya, untuk memujuk pengundi yang merajuk ini akan mengambil masa dan pada ketika sama, PH sedang memulihkan kedudukan mereka," kata beliau.

Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, penjenamaan semula BN akan turut mengambil kira kedudukan parti gabungan dan parti lain yang ingin menyertai BN.

Parti komponen BN juga akan berbincang bagi mempertimbangkan permohonan tiga parti iaitu Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Makkal Sakti dan Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) untuk menjadi parti komponen.