Walaupun merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional, UMNO hari ini bertegas agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil beberapa tindakan segera terhadap kerajaan terdahulu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan itu perlu diberi pertimbangan yang wajar, atas alasan memenuhi aspirasi rakyat dan memelihara kepentingan agama dan negara.

Antara tuntutan berkenaan, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat tuduhan salahlaku dan penyelewengan Pakatan Harapan terhadap Barisan Nasional, dan pengurusan Tabung Haji terdahulu.

BACA: UMNO sokong Muhyiddin sehingga habis penggal, namun ... - Ahmad Zahid

UMNO juga, kata Ahmad Zahid, mahu kerajaan menilai semula penjualan secara lambak aset strategik negara dan agensi berkepentingan negara seperti Tabung Haji, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain itu, beliau berkata, kes penyelewengan yang telah dihentikan perbicaraannya wajar diteruskan berdasarkan prinsip rule of law yang sebenar.

“Ini termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO juga berharap agar kerajaan dapat meneruskan kes melibatkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, membatalkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), dan menghentikan dasar pengurangan penjawat awam.

“UMNO akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai agen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela,” katanya lagi.