UMNO perlu pembaharuan dan dijenamakan semula supaya terus unggul dan meraih kekuatan seperti dahulu bagi membela nasib orang Melayu khasnya dan rakyat amnya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, UMNO diibaratkan sebagai 'orang' yang kini berada dalam keadaan nazak.

“Semua kaki dan tangan sudah tiada lagi. Yang ada hanyalah tubuh badan, kepala, telinga serta nyawa serta dalam keadaan tenat.

“Jika dibiarkan akan terkubur. Maka kita tidak boleh biarkan ini berlaku dan perlu diselamatkan supaya terus unggul,” katanya.

Tegasnya, ahli parti semua peringkat perlu bersatu memberi sokongan dalam usaha membangkitkan semula parti keramat itu setelah kalah dalam pilihan raya umum lalu.

“UMNO boleh diselamatkan dan bangkit semula jika semua anggota parti merasakan ia satu tanggungjawab dan perlu menyelamatkan parti keramat ini daripada terkubur,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis santai yang disertai kira-kira 200 pemimpin UMNO DUN Tahan di Waterfront Jerantut Feri, pada Rabu.

Wan Amizan berkata, nasib orang Melayu akan terumbang ambing jika ketiadaan UMNO dan ini terbukti dengan kekalahan parti itu pada pilihan raya lalu.

Menurutnya, sebelum ini pelbagai keistimewaan dikecapi khususnya kepada peneroka Felda.

“Oleh itu kita tidak boleh biarkan ini terus berlaku dan perlu diselamatkan supaya UMNO dapat membela nasib rakyat seperti dahulu,” katanya.

Justeru katanya, UMNO perlu ada pemimpin dan jentera parti yang kuat dan kukuh supaya boleh bergerak dan menghadapi rintangan pada masa depan.

“Saya yakin kita boleh lakukan pada pemilihan parti kali ini, maka nasib ahli parti, orang Melayu dan rakyat khasnya akan terbela, tetapi jika kita membiarkannya, maka kita akan hanyut dan tenggelam akhirnya terkubur,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan mereka yang mempunyai jawatan tidak mudah lupa daratan dan bersedia menggalas amanah serta tanggungjawab supaya perjuangan parti menepati sasaran.