UMNO Kedah teguh bersama pemimpin

UMNO Kedah teguh bersama pemimpin
Menurut Jamil Khir, tindakan tersebut turut menunjukkan bekas Presiden UMNO itu sanggup meletakkan kepentingan untuk perjuangan dan kemandirian parti melebihi segalanya. - Gambar fail
ALOR SETAR: UMNO Kedah akan berdiri teguh dan sentiasa menyokong sesiapa sahaja yang memimpin parti tersebut dengan penuh kesetiaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, beliau amat terharu dengan keprihatinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan sangat berjiwa besar.
“Selaku ahli dan kepimpinan parti, kita amat terharu dengan keprihatinan Presiden berjiwa besar meletakkan kepentingan parti paling hadapan dari segala-galanya.

“Kepentingan parti paling hadapan dari segalanya ... pengorbanan demi UMNO melebihi semua yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jelasnya, tindakan tersebut turut menunjukkan bekas Presiden UMNO itu sanggup meletakkan kepentingan untuk perjuangan dan kemandirian parti melebihi segalanya.

Tambah Jamil, beliau berterima kasih kepada Ahmad Zahid atas segala sumbangan yang diberikan terhadap parti terutama ketika era pasca Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Jamil turut mengharapkan tahun 2019 yang akan menjelma beberapa hari lagi akan memberikan sinar baru buat perjuangan UMNO untuk lebih kuat dan diterima rakyat.