UMNO tidak belajar daripada kesilapan dahulu dan masih mengekalkan budaya menyekat kebebasan bersuara, kata Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Wong Chun Yuan.

Chun Yuan membuat kenyataan tersebut susulan insiden penyokong bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang melakukan kekerasan terhadap beberapa orang mahasiswa di luar kawasan Universiti Malaya (UM).

"Tindakan penyokong UMNO yang diketuai oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam bergelut dengan beberapa orang pelajar Universiti Malaya yang mengadakan protes ketika Najib Razak sedang berucap seumpama tindakan samseng dan tidak menghormati hak kebebasan bersuara.

"Sebagai seorang ahli politik, saya merasa malu dengan tindakan ini yang memberi teladan buruk tentang akhlak ahli politik.

"Daripada 'Apa Malu Bossku', penyokong UMNO harus merasa malu dengan apa yang berlaku hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: Program santai Najib kecoh, pelajar dicekik dari belakang

Chun Yuan juga mendesak Najib agar meminta maaf kepada anak-anak muda tersebut dan mahu siasatan harus dilakukan terhadap mereka yang bertindak kasar dalam insiden berkenaan.

Program Najib bersama pelajar UM di Restoran Amjal pada Jumaat dicemari dengan insiden pergelutan antara penyokongnya dengan pelajar UM.

Untuk rekod, Restoran Amjal yang terletak di Jalan Pantai Baharu, sinonim dengan program-program yang menentang UMNO dan Barisan Nasional sejak beberapa tahun lalu.