Kekuatan UMNO Bahagian Semporna kini berada di landasan kukuh selain diyakini oleh rakyat di daerah itu dalam meraih keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata, meskipun dilanda 'tsunami kecil' susulan tindakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian UMNO Semporna keluar daripada parti itu pada 4 Julai 2016, namun kekuatan mereka kini semakin kuat.

Beliau berkata, walaupun ahli-ahli UMNO Semporna berasakan dikhianati susulan tindakan Mohd Shafie yang kemudiannya menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan UMNO sendiri, Ramlee menjelaskan ianya menjadikan alasan untuk UMNO Semporna kembali bangkit memperkuatkan barisan sedia ada.

"Saya melihat kekuatan Umno masih kekal seperti dulu malah dilihat lebih kuat atas kesedaran ahli-ahli UMNO Semporna setelah kita mengalami sedikit tsunami, bukan tsunami besar setelah Datuk Mohd Shafie keluar daripada UMNO atas kehendaknya sendiri dan sebagai ahli-ahli UMNO Semporna, kita seolah-olah dikhianati," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah itu berkata demikian selepas ditemui oleh Astro AWANI di pejabatnya di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (PPPNS), pada Rabu.

Mengulas mengenai keputusan Mohd Shafie keluar daripada UMNO, Ramlee menyifatkan tindakan pemimpin politik yang menjadi pembangkang itu adalah kerana kegagalannya mencapai cita-cita sebagai Ketua Menteri Sabah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya itu mendedahkan, kewujudan Parti Warisan itu dipercayai akibat dendam kesumat semata-mata.

"Saya fikir bila wujudnya parti Warisan ini atas nama dendam, jadi mana-mana parti politik atau pemimpin politik ada sifat-sifat yang didorong oleh elemen kekecewaan dan dendam, tentunya parti politik itu tidak mendapat tempat," katanya.

Ditanya mengenai spekulasi kekuatan Mohd Shafie di Semporna masih utuh selepas mengabadikan diri selama 22 tahun sebagai wakil rakyat, Ramlee berkata, ianya tidak menjadi persoalan utama memandangkan masyarakat di daerah itu mempunyai pernilaian sendiri siapa yang membangunkan negeri ini.

"Kita orang Semporna, kita tahu apa yang ada di Semporna kita tahu masyarakat kita," katanya.

Untuk rekod, Semporna yang memiliki satu kerusi Parlimen iaitu P.189 Semporna dan tiga kerusi DUN N52 Sulabayan, N53 Senallang dan N54 Bugaya pada PRU-13 lalu dimenangi oleh UMNO dengan majoriti memberangsangkan.

Turut dilabel sebagai kubu kuat UMNO di Sabah, pergolakan parti di bahagian itu yang diketuai oleh Mohd Shafie mengumumkan keluar pada Julai 2016 selepas digantung keahliannya dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 24 Jun tahun yang sama.

Tindakan Mohd Shafie keluar daripada UMNO turut disertai dengan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong yang kini menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Parti Warisan diikuti oleh bekas Ketua Pemuda UMNO Semporna; Datuk Mohd Azis Jamman kini Ketua Wira parti pembangkang itu serta sekumpulan lagi pengikut setia Mohd Shafie.