Memang ada perancangan untuk memulakan penyertaan wakil UMNO dalam kerajaan negeri pimpinan PAS seperti Kelantan dan Terengganu, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Marang itu, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan dan akan diperincikan melalui mesyuarat jawatankuasa penyelaras kedua-dua parti bila tiba waktunya.

“Kelantan, Terengganu, Itu tunggu bila masa. Tengok perkembangan selanjut. Memang ada rancangan… itu (hal) dalam keluarga kami (PAS dan UMNO),” katanya kepada sidang media sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas selesai menandatangani Piagam Muafakat Nasional bersama-sama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan puluhan ribu ahli PAS dan UMNO yang membanjiri PWTC hari ini.

Piagam itu itu berbunyi:-

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Ditanya mengenai perasaannya berucap pertama kali di ibu pejabat UMNO, Abdul Hadi berkata, beliau merasa amat gembira dengan sambutan yang diberikan para hadirin.

“Sudah tentu paling gembira kerana selama ini saya berucap di kalangan yang dipenuhi PAS, hari ini campur PAS dan UMNO, dan semua pihak. Bukan sahaja PAS UMNO sahaja, termasuklah kalangan ilmuan, kalangan tokoh-tokoh masyarakat, pesara-pesara kerajaan dan pasukan keselamatan," kata Abdul Hadi.

Sementara itu, Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau mengharapkan kerjasama ini dapat berkekalan.

“Tentunya apa yang kita garis bawah ini adalah perpaduan nasional keseluruhan. Muafakat nasional adalah merupakan suatu wadah untuk bukan hanya penyatuan umno dan pas, tapi Insya-Allah penyatuan seluruh rakyat Malaysia.

“Ia mungkin diwakili oleh parti politik selain daripada umno dan pas, agar permuafakatan ini dapat berikan natijah atau hasil kepada penyatuan nasional. Mudah-mudahan kejayaan ini berpanjangan,” katanya lagi.