PAS tidak mungkin bergabung dengan UMNO.

Demikian ketegasan Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, sambil menyifatkan sebarang kerjasama antara kedua parti berkenaan hanya berhubung soal perpaduan Islam.

Ujarnya, dasar perjuangan kedua parti berkenaan adalah berbeza justeru tidak memungkinkan gabungan atau kerjasama politik berlaku.

"PAS tidak mungkin bersama dengan Barisan Nasional (BN) kerana PAS ada perjuangan dan dasarnya dan BN, UMNO ada perjuangan dan dasar mereka tetapi kita ambil pendekatan apa sahaja perkara melibatkan masalah orang Islam boleh kerjasama dengan sesiapa termasuk dengan UMNO dan kerajaan. Tetapi tidak akan ada gabungan PAS dan UMNO. Ia tidak akan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di luar Parlimen.

Tegas beliau, PAS bergerak sendirian dan tidak akan mengikut mana-mana parti lain.

"PAS bersendiri. Sesiapa boleh ikut PAS, kita sudah ada Gagasan Sejahtera dan kita boleh mengajak sesiapa sahaja agar bersatu bersama gagasan kami tetapi tidak untuk kita ikut orang lain. PAS perlu pimpin pembangkang," ujarnya lagi.

Pada Ahad, Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah mewujudkan kerjasama politik antara UMNO dan PAS perlu dilaksanakan dalam usaha memperkukuh hubungan serta perpaduan melayu-islam di negara ini.

Kerjasama sedemikian adalah dituntut malah disebut di dalam al-Quran bagi memastikan survival umat Islam secara keseluruhannya.