UMNO patut singkirkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau terpalit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didakwa secara umumnya terlibat dalam menyebarkan politik ‘toksik’.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata jika langkah itu tidak dilakukan, UMNO dan BN bakal dipersalahkan akibat dua warisan ‘toksik’ bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu.

“Siapa yang akan menjadi pemimpin UMNO pertama yang berani menyuarakan apa (yang terbuku) di kalangan semua rakyat Malaysia, bahawa sebenarnya semua anggota UMNO patriotik, justeru Najib mesti disingkirkan daripada UMNO/BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menyelar Najib dalam perutusan hari rayanya yang mencadangkan politik sihat dan mengajak rakyat membuka lembaran baharu serta melupakan kisah lampau kerana pilihan raya umum sudah berakhir.

“Adakah Najib berpendapat PRU14 hanyalah sekadar permainan yang boleh diulang semula? Apakah Najib berfikir PRU14 adalah seperti berkelah dengan semuanya kembali normal selepas kesibukan keramaian dan hiruk-pikuk?” soalnya.

Dalam pemilihan UMNO kali ini, sebanyak 191 bahagian akan bersidang dan memilih pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi parti serentak di seluruh negara pada 30 Jun ini.

Pemilihan itu bakal menyaksikan pertandingan secara terbuka untuk semua jawatan dalam parti bagi menentukan hala tuju baharu selepas kalah dalam PRU14 lalu.

Susulan kekalahan UMNO-BN dalam pilihan raya lalu, Najib meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN pada 12 Mei.