UMNO perlu calon luar yang popular di Sungai Kandis - Penganalisis

UMNO perlu calon luar yang popular di Sungai Kandis - Penganalisis
AWANG AZMAN: UMNO atau BN akan menghadapi cabarang paling getir pada PRK itu dalam membuktikan pemulihan parti selepas tewas pada PRU sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan menghadapi masalah seandainya meletakkan calon luar yang popular untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Pensyarah kanan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, konteks politik di Selangor sendiri tidak memberi perbezaan kepada calon luar untuk berkhidmat selain penerimaan positif pengundi sendiri di kawasan berkenaan.

Jelasnya, beberapa tokoh politik Pakatan Harapan (PH) yang merupakan orang luar juga sudah terbukti memegang jawatan tertinggi di negeri itu sendiri.

Awang Azman turut mencadangkan beberapa nama calon luar Selangor seperti Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk bertanding merebut kerusi berkenaan.

"Jadi kita lihat ini, nama KJ (Khairy), nama Asyraf Wajdi yang dianggap popular di kalangan anak muda dan media sosial ini perlu diberi peluang, dan bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi perlu juga diketengahkan atau dipertimbangkan kerana dia dianggap mesra rakyat, penampilan baik dan dilihat popular dalam UMNO.

"Jadi nama ketiga-tiga calon itu perlulah dalam radar pemilihan yang akan diputuskan kepimpinan UMNO negeri dan pusat.

"Kalau dilihat PH Selangor yang kuat, PH kuasai 51 ADUN, BN (Barisan Nasional) empat ADUN dan Pas satu ADUN. Jadi kita lihat PH sangat kuat, kita perlu pastikan proses demokrasi berjalan lancar, proses semak dan imbang perlu ada, Selangor perlu pembangkang yang kuat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
BACA: Tumpu peranan pembangkang dahulu baru PRK - Penganalisis

BACA: 
PRK Sungai Kandis: Tanding atas nama UMNO bukan BN - Tok Mat

Beliau mengulas isu kesediaan UMNO menerima calon luar seperti dilakukan PH sebelum ini.

PRK Sungai Kandis dikatakan memberi dilema besar kepada UMNO sama ada untuk meletakkkan calon tempatan atau luar.

Bagaimanapun, kata Awang Azman, UMNO atau BN akan menghadapi cabarang paling getir pada PRK itu dalam membuktikan pemulihan parti selepas tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

"PRU baru berlangsung dan rata-rata pemilih masih segar kepada pemilihan masing-masing, selain itu DUN itu sendiri juga merupakan kubu kuat PKR," jelasnya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, ketika ini terdapat tiga nama dari PKR yang dilihat berpeluang atau mempunyai kelayakan untuk dijadikan calon bagi PRK Sungai Kandis nanti.

Desas-desus itu mengatakan tiga nama yang disebut-sebut itu adalah Bekas ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari serta dua calon muda iaitu Naib Ketua AMK Malaysia, Mohd Radzlan Jalaluddin dan Mikael Eskandar.

Timbalan Presiden UMNO Datuk, Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilapor mencadangkan supaya UMNO bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis atas nama parti itu sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap UMNO dalam senario politik semasa.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata adalah lebih baik untuk UMNO tidak bertanding kerana parti keramat Melayu itu kini dalam proses untuk membina dan memulihkan semula parti.

Menurutnya, jika melihat kepada PRK itu, kebarangkalian untuk PKR menang sangat tinggi kerana kekosongan berlaku adalah atas faktor kesihatan Mat Shuhaimi Shafiei.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pada 4 Ogos sebagai Hari Pengundian bagi PRK Sungai Kandis.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 21 Julai, manakala tempoh berkempen bagi PRK ini selama14 hari.

Kerusi N49 DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi, meninggal dunia pada 2 Julai lalu.

Pada PRU Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menang dengan majoriti 12,480 undi, mewakili PKR dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, Pas dan Parti Rakyat Malaysia.