UMNO wajar dan wajib membuat keputusan yang lebih rasional dan strategik mengenai penglibatan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, mereka perlu mengekalkan Muafakat Nasional dengan harapan akan berkuasa sepenuhnya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Jelasnya, UMNO juga boleh memilih untuk memeteri "Piagam PN" yang telahpun tersedia untuk sama-sama berkongsi kuasa dengan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sama-sama mengambil tanggungjawab bagi memenangi PRU ke-15 akan datang.

"Dari segi rasionalisasi politik, pilihan pertama adalah "angan-angan Mat Jenin" disebabkan sesuatu yang akan datang adalah sesuatu yang belum ada ketentuan, penuh dengan risiko yang di luar kawalan dan dugaan serta kes-kes mahkamah yang dilalui dan dialami UMNO melibatkan pemimpin-pemimpin utama.

"Ia masih boleh meledak menjadi letupan yang menghancurkan prospeknya untuk berkuasa salepas PRU ke-15 nanti bila mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepada pemimpin-pemimpin ini.

"UMNO juga perlu sedar dan faham bahawa potensi pengharamannya akibat ada petisyen terhadap parti itu masa yang lalu sebenarnya belum diputuskan lagi oleh mahkamah setakat ini," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Jumaat.

Jelas Rahim, walau pun sebahagian dari ahli-ahli UMNO berpendapat bahawa tidak ada seorang pun ahli politik di negara yang berani mengharamkan parti itu kerana keahliannya yang melepasi angka jutaan, namun kes pengharaman UMNO masa lalu menunjukkan soal jumlah keahlian sesuatu parti politik tidak langsung diambil perkiraan oleh mahkamah apabila soal intergriti menjadi pertimbangan paling agung kepada sektor kehakiman ini.

"Dari situasi di atas, adalah satu rasionalisasi yang mantap dan satu kebijaksanaan yang amat dihargai rakyat jika UMNO menimbangkan semula koloborasi mereka bersama Pas dalam Muafakat Nasional.

"Demi kesepaduan Melayu yang lebih mampan di negara ini, UMNO perlu memilih opsyen kedua di mana perkongsian kuasa dengan Bersatu dan lain-lain komponen PN.

"Ia akan dimeterikan di dalam "Piagam PN" yang sememangnya kena pada masanya dan satu usaha Islamik yang akan dihargai dan disokong sepenuhnya oleh setiap pejuang di negara ini yang ingin melihat Melayu Islam terus berkuasa di negara ini," ujarnya.