UMNO perlu presiden yang lebih dewasa dan berpengalaman - Penganalisis

UMNO perlu presiden yang lebih dewasa dan berpengalaman - Penganalisis
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga, kiri) ceria selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn pada 30 Januari lalu. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO memerlukan seorang presiden yang boleh memberi rasionalisasi dan wawasan baharu untuk parti itu bangkit kembali.

Menurut penganalisis politik, Prof Datuk Zainal Kling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pemimpin UMNO yang baru perlu dipilih dari kalangan yang lebih dewasa dan luas pengalaman.

“Saya fikir pada saat ini, UMNO memerlukan seorang presiden yang dewasa dan mempunyai pengalaman.
“Pemimpin UMNO baru tak boleh melonjak mahu merubah keadaan ini kerana ia akan menyebabkan banyak golongan yang berpengalaman yang tak boleh menerima, manakala biar yang muda itu belajar lagi selok belok politik dan kepimpinan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Menurut Zainal lagi, UMNO tidak boleh berfikir untuk melonjak naik secara drastik ketika ini, tetapi mereka perlu lebih kepada mencari solusi memperbaiki keadaan UMNO.

BACA: Sah! Khairy bakal bertanding calon Presiden UMNO


Zainal berkata demikian sebagai mengulas keputusan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini untuk bertanding sebagai kerusi Presiden UMNO bagi penggal 2018/19.

Hari ini, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah mengumumkan calon pemilihan UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara hari ini.

Dalam majlis pengumuman itu, Ab Rauf mendedahkan calon jawatan Presiden berjumlah tujuh orang dengan empat nama termasuk Khairy, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli perniagaan dan blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz.