UMNO perlu tegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang memecah belahkan parti itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, dalam senario politik negara buat masa kini semua anggota parti perlu bersatu dan memberikan fokus untuk memantapkan parti.

"Tindakan mesti diambil kepada sesiapa sahaja yang menjadi 'gunting dalam lipatan' kepada parti (UMNO). Parti itu perlu menjadi satu pasukan yang mantap bagi menghadapi pembangkang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, kekuatan parti perlu menjadi keutamaan dan oleh itu sesiapa sahaja yang didapati terlibat dalam memporak porandakan parti mesti dihukum.

Justeru, beliau menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung siasatan terhadap tujuh pemimpin UMNO dilakukan demi kebaikan parti.

Menurut Adnan, teguran terhadap parti boleh dibuat tetapi ia perlu mengikut cara dan saluran yang betul kerana parti tidak mahu ada 'gunting dalam lipatan', 'anai-anai' serta 'duri dalam daging' yang boleh melemahkan parti.

"Kami menerima banyak aduan tetapi yang drastik ialah mengenai tujuh orang ini. Kami sebenarnya boleh ambil tindakan terhadap mereka (gantung keanggotaan) tetapi ketika ini masih melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemimpin terbabit dan berkata jawatankuasa yang dilantik sedang menyiasat perkara itu dan keputusannya akan dibentangkan pada Majlis Presiden UMNO sebelum dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti.

Kebelakangan ini, beberapa pemimpin UMNO, dilaporkan menyertai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengeluarkan kenyataan mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di khalayak.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang ketika bercakap kepada pemberita di Parlimen pada Khamis berkata, beliau bersedia untuk berdepan dengan sebarang tindakan disiplin oleh parti itu sekira beliau didapati melanggar peraturan parti itu.

"Saya bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. Saya serahkan perkara ini kepada takdir.

"Saya sudah berada dalam parti lebih lama daripada mana-mana orang yang berada di sana. Saya sudah berada di Parlimen lebih lama daripada sesiapapun," kata veteran politik yang telah menjadi ahli Parlimen sejak tahun 1974.

Mengakui tidak mengetahui sama ada beliau merupakan antara tujuh ahli UMNO yang sedang disiasat, beliau berkata ia adalah perkara biasa untuk sesebuah parti menyiasat atau memantau pergerakan ahli-ahlinya.

"Semua organisasi mempunyai peraturan sendiri dan mereka tertakluk kepada undang-undang dan peraturan. Kita pernah dengar juga pertubuhan seperti kesatuan sekerja dan parti komunis juga menguatkuasakan peraturan seumpama itu.

"Saya fikir kita memerlukan semua orang untuk memperkukuhkan parti. Anda perlu bertolak ansur dengan orang yang mempunyai pandangan berbeza. Begitulah UMNO mendapat kekuatan kerana rakyat daripada pelbagai lapisan berada dalam UMNO dan mereka memberi pelbagai pandangan dan pendapat," katanya.