Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyambut baik saranan penyatuan tiga parti politik Melayu iaitu Pas, UMNO dan Bersatu.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu, berkata, usaha penyatuan itu merupakan sebahagian daripada perjuangan parti berkenaan untuk mengharmonikan semua pihak.

“Kita kena faham Parti Islam SeMalaysia (Pas) ini asas perjuangannya adalah untuk meletakan Islam di kedudukan tertinggi.

"Statistik menunjukan bahawa umat Islam di Malaysia adalah 68 peratus. Pas adalah parti yang didokong oleh orang Melayu, kita ada persamaan dengan UMNO dan Bersatu yang kita tahu asalnya adalah UMNO,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi itu kepada Astro AWANI.

Tegas beliau, umat Islam di negara ini khususnya orang Melayu telah berpecah sejak sekian lama kerana perbezaan ideologi politik.

Justeru, Ahmad Amzad melihat penyertaan atau gabungan ketiga-tiga parti itu tepat pada masanya untuk menguatkan lagi kedudukan Islam dan Melayu itu sendiri yang memperlihatkan ia sebagai politik matang.

“Kita berada dalam keadaan terlalu lama umat Islam berpecah. Ia menyebabkan kita kehilangan kekuatan politik sehingga agenda yang diperjuangkan oleh Pas untuk meletakan Islam pada kedudukannya menjadi terhalang oleh kerana terhakisnya dominasi politik orang Islam... maka usaha politik matang sedikit sebanyak telah mengharmonikan hubungan antara parti politik Islam,” kata beliau lagi.

Jelas Amzad, penubuhan kerajaan Perikatan Nasional telah memacu lebih jauh lagi usaha menyatu padukan ummah tanpa menafikan peranan penting yang dimainkan oleh UMNO dalam Muafakat Nasional.

“Dengan adanya Bersatu dengan kita, sudah tentunya kita menganggap UMNO sebagai rakan kongsi yang penting dan terlebih dahulu bersama dengan kita melalui Muafakat Nasional dan adanya Bersatu adalah sesuatu yag menambah lagi kejayaan kita dalam (usaha) satu padukan ummah,” kata Ahmad Amzad..