UMNO akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) November nanti bagi membuat beberapa pindaan perlembagaan termasuk memberi kuasa autonomi sepenuhnya kepada UMNO Sabah, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO berkata, menerusi pindaan perlembagaan itu, UMNO Sabah akan diberi kuasa penuh untuk menguruskan parti dan dapayt membuat keputusan tanpa perlu merjuk kepada UMNO Pusat.

Selain itu, beliua juga menjelaskan pindaan itu sesuai dengan situasai politik masa kini.

"Pindaan perlembagaan juga antara lain untuk memberi kuasa autonomi sepenuhnya kepada UMNO Sabah, yang mana ia mengambarkan situasi politik semasa di Sabah.

"Dan adalah lebih sustainable dalam jangka masa panjang jika UMNO Sabah diberi autonomi untuk mereka urus sendiri parti," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Isnin.

Keputusan untuk memberi kuasa autonomi penuh dipersetujui oleh MT Umno demi kelangsungan parti itu di Sabah.

Selain itu jelas Mohamad, pindaan perlembagaan parti itu juga turut menyentuh soal keahlian parti sesuai dengan kedudukan UMNO yang bukan lagi parti kerajaan.

"Perlembagaan dulu banyak menghalang berbanding membuka ruang, kita mahu buka seluas-luasanya untuk menjadi ahli UMNO, khususnya anak muda.

"Dulu kita ada juga pendaftaran secara online tetapi dulu kalau daftar online cuma jadi ahli di PWTC dan Dataran Merdeka tetapi pindaan itu nanti mereka yang daftar secara online boleh pilih nak jadi ahli di cawangan dan bahagian mana serta tak perlu susah payah cari rumah ketua cawangan," katanya.

Beliau juga menjelaskan pindaan perlembagaan parti itu bukan bermaksud membuka keahlian kepada orang bukan Melayu kerana parti itu masih parti untuk orang Melayu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, MT UMNO juga membuat keputusan untuk melanjutkan mesyuarat UMNO cawangan yang sepatutnya berakhir 30 April kepada 30 Mei.

Begitu juga mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang dijadualkan pada 15 Jun sehingga 30 Julai kepada 15 Ogos.